BALING – Dua pengunjung berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air, di kawasan Air Terjun Lata Bayu, di sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian daripada orang awam kira-kira pukul 4.55 petang tadi.
“Seramai sembilan anggota APM bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa berjaya diselamatkan pada pukul 5.55 petang tadi,” katanya.
Katanya, seorang mangsa berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan, manakala seorang lagi dilaporkan dalam keadaan sedar dan stabil,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti riadah di kawasan air terjun supaya berhati-hati dan segera meninggalkan kawasan tersebut jika terdapat tanda berlakunya kepala air. – KOSMO! ONLINE