GEORGE TOWN – Seorang lelaki dilaporkan lemas dipercayai ketika cuba menyelamatkan anaknya di Pantai Miami, Batu Feringghi, di sini petang tadi.
Mangsa yang berumur 43 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) manakala anak lelakinya berusia belasan tahun itu ditemui selamat.
Pegawai Operasi Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.28 petang.
Menurutnya, sebaik pasukan bomba sampai di lokasi kejadian didapati terdapat seorang mangsa lelaki dilaporkan tidak sedarkan diri akibat lemas.
“Mangsa terlebih dahulu berjaya diselamatkan orang awam dan diberi rawatan awal oleh seorang doktor yang ketika itu sedang bercuti serta berada berhampiran lokasi kejadian bersama pasukan bomba serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya kepada Kosmo!, di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu katanya, pihaknya dimaklumkan yang kejadian itu dipercayai berlaku semasa mangsa mahu menyelamatkan anaknya daripada dibawa arus.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE