GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa beratus-ratus ribu individu di Asia Tenggara dipaksa terlibat dalam skim penipuan online (online ‘scam’) termasuk kegiatan cinta palsu (love ‘scam’), pelaburan palsu dan perjudian haram, lapor stesen penyiaran ABC News kelmarin.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak-Hak Asasi Manusia (OHCHR) PBB dalam laporan terbaharunya menyatakan sekurang-kurangnya 120,000 orang di Myanmar dan kira-kira 100,000 di Kemboja mungkin terhimpit dalam situasi di mana mereka dipaksa terlibat dalam kegiataan berkenaan.
Laporan yang memetik sumber boleh dipercayai itu memberi penjelasan terbaharu berhubung penipuan jenayah siber sehingga menjadi isu utama di rantau Asia, dengan ramai pekerja terperangkap dalam ‘perhambaan maya’. Mereka juga dikatakan terpaksa melibatkan diri dalam penipuan yang menyasarkan pengguna internet.
Laos, Filipina dan Thailand dalam laporan itu turut disebut antara negara destinasi atau transit utama untuk berpuluh-puluh ribu orang mangsa.
Kumpulan-kumpulan penjenayah kini semakin kerap menyasarkan pendatang asing dan mengumpan sejumlah mangsa dengan menipu mereka untuk bekerja.
OHCHR yang melaporkan skala besar sindiket penipuan itu berkata, angka yang tepat dari segi mangsa dan hasil (penipuan) yang dijana adalah sukar untuk dianggarkan kerana kerahsiaannya dan jurang dalam tindak balas kerajaan. Namun, ia dipercayai bernilai berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat pada setiap tahun.
Sesetengah mangsa pula dikatakan diseksa, dihukum dengan kejam, mengalami keganasan seksual dan ditahan sewenang-wenangnya, demikian menurut laporan yang sama.
Penasihat Kanan Penghijrahan dan Hak-Hak Asasi Manusia Asia-Pasifik, Pejabat Hak-Hak Asasi Manusia PBB, Pia Oberoi menggambarkan dua kategori mangsa dalam kegiatan penipuan itu.
Kategori pertama ialah individu yang ditipu dengan sejumlah besar wang, manakala kategori kedua ialah orang yang diperdagangkan untuk bekerja dengan kumpulan ‘scammer’.
Bercakap kepada pemberita di Geneva menerusi penstriman video dari Bangkok, Oberoi berkata, banyak penipuan bermula ketika pandemik Covid-19 apabila perintah berkurung menyebabkan kasino-kasino ditutup. Sektor itu merupakan bahagian penting ekonomi di sepanjang zon-zon sempadan dan Kemboja.
“Apa yang anda lihat sebenarnya ialah penjenayah yang berpura-pura, yang pada dasarnya mencari jalan untuk mempelbagaikan operasi mereka kerana sumber pendapatan utama berkurang akibat perintah berkurung semasa Covid-19,” katanya.
Tambahnya, ia juga didorong oleh kesempitan ekonomi yang dihadapi golongan muda berkelas pertengahan yang celik teknologi dan berpendidikan tinggi.
“Disebabkan kehilangan pekerjaan, ramai terpedaya dengan janji-janji palsu untuk bekerja dalam skim penipuan tersebut,” ujar Oberoi.
Tambah laporan berkenaan, mangsa-mangsa yang diumpan untuk bekerja bukan sahaja datang dari rantau Asia Tenggara, bahkan China, Hong Kong, Taiwan serta rantau Asia Selatan, Afrika dan Amerika Latin.
Kebanyakan mangsa yang direkrut dalam operasi penipuan terdiri daripada lelaki meskipun wanita dan remaja turut menjadi mangsa, demikian menurut laporan itu.
“Kebiasaannya, lelaki yang melakukan penipuan dengan berpura-pura menjadi wanita. Jika si mangsa meminta untuk melihat wanita tersebut, salah seorang daripada wanita di pusat penipuan itu dibawa masuk untuk bertindak sebagai ‘model’,” jelas Oberoi. – AGENSI