NEW DELHI, India – Sekumpulan penduduk kampung di negeri Madhya Pradesh, India tular selepas mereka dirakam mengganggu seekor harimau bintang yang sakit.
Laman berita Wion News melaporkan, jabatan perhutanan bergegas ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan haiwan itu susulan aduan orang ramai.
Menurut media tempatan, penduduk setempat pertama kali melihat harimau bintang sakit itu berkeliaran di hutan berhampiran Kampung Iklera, daerah Dewas.
Pada awal pertembungan, mereka diselubungi ketakutan, namun kemudian menyedari binatang buas itu tidak agresif.
Salah seorang penduduk menghubungi jabatan perhutanan, namun sebilangan lagi mengganggu haiwan itu sambil merakam swafoto.
Beberapa lelaki dirakam cuba menunggang harimau bintang itu. Pasukan penyelamat yang tiba bertindak membawanya ke lokasi lebih selamat.
Menurut pegawai jabatan perhutanan, Santosh Shukla, pasukannya mengangkut harimau bintang berusia dua tahun itu ke Van Vihar di Bhopal untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh. – Agensi