PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-66 kepada seluruh rakyat Malaysia yang berada di dalam dan di luar negara.
Dalam sebuah kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa perpaduan rakyat tanpa mengira bangsa dan kaum adalah kunci utama kepada keharmonian dan kesejahteraan negara, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuh Harapan”.
“Keutuhan perpaduan adalah kunci utama kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang.
“Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat mengimbau kembali lebih enam dekad yang lalu di mana semangat kenegaraan dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat sekaliannya dengan tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti,” titah Al-Sultan Abdullah.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat supaya menghargai dan menghayati jasa para pemimpin, pejuang dan patriot kemerdekaan negara yang memupuk perpaduan rakyat serta jasa anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama para pemimpin dan rakyat dalam bukan sahaja memelihara dan mengukuhkan lagi keharmonian serta perpaduan yang dikecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita.
“Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” titahnya. – KOSMO! ONLINE