KUALA TERENGGANU – Seramai 36 bayi merdeka iaitu 18 bayi lelaki dan 18 bayi perempuan dilahirkan di seluruh Terengganu sehingga 10 pagi tadi.
Seramai 25 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini; Hospital Kemaman (lima), Hospital Besut (tiga), Hospital Dungun (dua) dan Hospital Hulu Terengganu (seorang) .
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesemua bayi merdeka itu turut menerima cenderahati daripada Co-opbank Pertama, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Di HSNZ hari ini, kita juga bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu untuk memberi penerangan mengenai tempoh pendaftaran kelahiran bayi kepada ibu bapa mereka.
“Semoga semua sumbangan ini akan menceriakan lagi keluarga bayi bertuah dan mendidik mereka untuk merancang pada depan yang terbaik untuk anak-anak merdeka ini,” katanya di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA), HSNZ di sini hari ini.
Sementara itu, beberapa ibu bapa yang ditemui pemberita mengakui teruja dan gembira kerana dapat melahirkan bayi mereka pada tarikh keramat yang bersejarah iaitu 31 Ogos.
Aliani Adanan, 35, dan suaminya Mohamad Zahar Ali, 38 adalah ibu bapa bayi merdeka pertama yang lahir di Terengganu iaitu pada pukul 1.25 pagi di HSNZ.
Mohamad Zahar berkata, bayi perempuan ketiganya itu dilahirkan seberat 3.1 kilogram secara normal dan menyifatkannya sebagai anugerah terindah dari Allah kerana mereka suami isteri telah menanti selama 10 tahun untuk menambah bilangan ahli keluarga. – KOSMO! ONLINE