KUALA TERENGGANU – Seramai 3,949 peserta daripada 109 kontinjen terlibat dalam perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Terengganu di Dataran Shahbandar di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada kakitangan jabatan, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, kumpulan pancaragam dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Terengganu.
Seawal 7 pagi, kira-kira 10,000 orang ramai mula berkumpul di sekitar Dataran Shahbandar bersama keluarga dan rakan untuk menyemarakkan lagi sambutan hari bersejarah tersebut.
Orang ramai juga berkumpul di sepanjang jalan untuk melihat sendiri perarakan semua 109 kontinjen yang terlibat dengan sambutan meriah diberi kepada pasukan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ramai yang datang dengan membawa bayi dan anak kecil, malah suasana semakin meriah dengan pelbagai busana menarik berkonsepkan Jalur Gemilang serta mengibarkan bendera Malaysia dengan penuh semangat.
Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan berangkat ke majlis itu bersama adindanya bagi menyaksikan perarakan kontinjen dan lintas ‘Hormat diRaja’ serta persembahan lain termasuk demonstrasi silat.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
Perbarisan lebih empat kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Omar ke Wisma TNB, Jalan Engku Sar, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan berakhir di Dataran Shahbandar. – KOSMO! ONLINE