GEORGE TOWN – Sambutan Hari Kemerdekaan esok membawa tuah bagi Zam (bukan nama sebenar) apabila dia dapat kembali ke pangkuan keluarga menerusi pelaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani.
Zam adalah salah seorang daripada 16 penghuni Penjara Reman Pulau Pinang yang diberi pelepasan, hari ini menerusi PBSL sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2023.
Empat daripada 16 penghuni termasuk Zam kembali ke pangkuan keluarga masing-masing, manakala OBB selebihnya memilih untuk menjalani latihan kerja bersama majikan.
Menurut Zam, dia bersyukur kerana dapat dibebaskan awal, malah tambah bermakna esok adalah tarikh hari lahirnya yang ke-49 dan dia berpeluang menyambut hari lahir serta Hari Kemerdekaan negara sebagai orang yang bebas.
“Saya mahu mulakan hidup baharu bersama kakak dan tiga anak saudara saya selepas ini, saya mahu mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan bersama mereka.
“Saya dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan kerana kesalahan berkaitan dadah, sepatutnya saya bebas 19 Oktober depan tetapi hari saya dibebaskan lebih awal menerusi PBSL,” katanya ketika ditemui di pekarangan Penjara Reman Pulau Pinang di sini, hari ini.
Zam yang masih bujang berkata, dia juga berterima kasih kepada kakak dan tiga anak saudaranya kerana sudi menerimanya kembali.
Dalam pada itu, seorang pemilik syarikat mencuci kenderaan dan bangunan, K. Suraindran berkata, sejak 2019 dia telah bekerjasama dengan pihak penjara untuk memberi peluang kepada penghuni penjara memulakan hidup baharu.
Sementara itu, Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamad Jusoh Ismail berkata, seramai 16 banduan terpilih menyertai PBSL Ihsan Madani. – KOSMO! ONLINE