LIPIS – Pasangan warga emas nyaris maut selepas sebatang pokok getah tua menghempap rumahnya di Kampung Jeram Landak, di sini malam tadi.
Abu Bakar @ Teh Samah, 83, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, dia bersama isterinya sedang berehat sambil minum di dalam rumahnya sementara menunggu masuk waktu solat maghrib.
“Keadaan cuaca pada waktu itu dimulai dengan angin ribut yang sangat kencang. Mendengar bunyi ribut di luar, saya pun terus membuka tingkap rumah untuk melihat keadaan di luar.
“Ketika melihat keluar, saya lihat keadaan angin kelihatan seperti ‘berbuku-buku’ warna putih berpusing-pusing ke arah rumah saya disusuli dengan beberapa pokok reput tumbang, kemudiannya (ribut) reda dalam beberapa minit.
“Saya sangka kejadian ribut itu reda, tetapi tiba-tiba ribut datang pula kali kedua menyebabkan sebatang pokok getah tua yang agak besar menghempap betul-betul di bahagian tengah rumah,” katanya di Kampung Jeram Landak di sini hari ini.
Dia berkata, selepas kejadian itu dia dan isterinya bergegas keluar rumah untuk menyelamatkan diri kerana bimbang keselamatan mereka, berkemungkinan rumah kayu itu akan runtuh.
“Saya bersyukur kerana selamat dalam kejadian ini dan berterima kasih kepada wakil Menteri Besar Pahang yang segera datang berziarah dan menyampaikan sumbangan hari ini,” katanya.
Dalam pada itu Masjid Lama Kampung Jeram Landak turut rosak dihempap pokok manakala dua buah rumah terjejas selepas bahagian bumbung diterbangkan angin
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Khairul Nizam Abu Dahari berkata, pihaknya sedang membuat taksiran kerosakan kediaman Abu Bakar serta dua buah rumah lain yang turut mengalami kerosakan bagi bantuan membaikpulih.
“Dalam tempoh ini, mangsa sudah pun diberikan bantuan untuk tempoh pemulihan sementara menunggu sumbangan daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE