KOTA BHARU – Tiga buah premis termasuk dua buah stor simpanan di sini digempur selepas didapati menjual selain menyimpan sebanyak 7,569 unit pelbagai barangan berjenama tiruan bernilai lebih RM117,700.
Operasi selama dua hari bermula kelmarin dan semalam itu dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama pemilik cap dagang itu.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya menerima aduan bahawa ketiga-tiga premis tersebut menyimpan dan menjual barangan tiruan.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan di ketiga-tiga premis itu, anggota penguatkuasa KPDN merampas barangan tiruan seperti pakaian, beg, topi, tali pinggang, jam, tablet, cermin mata dan aksesori pelbagai jenama terkenal.
“Siasatan lanjut mendapati, pemilik premis itu melanggar peraturan cap dagangan berdaftar dengan menjual barangan tiruan bagi jenama tersebut.
“Kesemua barangan tersebut juga dijual secara dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDN di sini hari ini.
Azman memberitahu,individu atau peniaga yang menjual barangan jenama tiruan terkenal dinasihatkan agar menghentikan perbuatan tersebut dengan segera.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut dan boleh dikenakan tindakan di mahkamah.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) dan 100 (1) (b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan kawalan dan jagaan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar pada barangan atau perkhidmatan. – KOSMO! ONLINE