GERIK – “Kami dihujani peluru yang dilepaskan komunis selama dua jam, ketika itu terasa nyawa bagaikan telur di hujung tanduk.”
Demikian cerita seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohamad Sarif Long, 76, ketika mengimbau detik cemas apabila lori yang dinaiki bersama lima rakannya diserang sekumpulan komunis.
Kejadian pada pukul 7 pagi, 27 Ogos 1974 itu berlaku ketika mereka berada di Kilometer 26, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini.
Menurut Mohamad Sarif, insiden berdarah itu meninggalkan kesan emosi yang begitu mendalam apabila dia menyaksikan sendiri tiga rakannya dikenali sebagai Ismail, Hussin dan Ali terkorban di depan mata.
“Menjadi rutin kami yang bekerja sebagai pemandu jentera berat melakukan kerja membina jalan di lebuh raya tersebut.
“Perjalanan dari base camp Gerik ke Pulau Banding diiringi askar kerana tiga bulan sebelum itu (23 Mei 1974) berlaku kejadian letupan yang memusnahkan 63 jentera milik JKR.
“Pada hari kejadian, lori yang kami naiki terkena jerangkap samar menyebabkan tayar pecah dan terhenti. Waktu itu, saya menyaksikan sendiri seorang rakan bernama Ismail terkena tembakan di kepala,” katanya ketika ditemui di Jeti Awam Pulau Banding di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Mohamad Sarif memberitahu, dia terdengar bunyi tembakan bertalu-talu sebelum bertindak terjun daripada lori yang mereka naiki.
Bagi menyelamatkan diri, warga emas tersebut menyorok di bawah lori dan berlindung di bawah kotak gear.
“Saya hanya ingat mati dan perasaan bertambah hiba apabila mengenangkan pengorbanan terpaksa meninggalkan isteri yang baharu dinikahi ketika itu,” katanya.
Mohamad Sarif bagaimanapun lega apabila pasukan tentera berjaya menyuraikan serangan tersebut.
“Kami yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan. Saya sempat melihat percikan darah di lokasi kejadian sebelum pengsan,” katanya.
Bapa enam anak itu berkata, dia tidak akan melupakan kejadian berdarah tersebut sepanjang hayat kerana Hussin yang merupakan rakan baiknya sepatutnya mengambil cuti untuk bertunang.
“Apakan daya, takdir Allah mengatasi segala-galanya. Setiap kali melalui laluan JRTB ini, saya pasti akan bercerita kepada anak-anak serta cucu-cucu mengenai peristiwa berdarah tersebut.
“Setiap kali itu juga hati saya menjadi sayu kerana kejadian tersebut masih segar dalam ingatan biarpun sudah puluhan tahun berlalu,” katanya. -KOSMO! ONLINE