SUNGAI PETANI – Kegiatan sepasang suami isteri yang dipercayai menjadi ‘transporter’ dadah jenis ganja dari sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan ke Perak sejak April lalu tumpas apabila mereka ditahan di sebuah rumah di Bandar Seri Astana, di sini pada kelmarin.
Pasangan berusia 32 tahun itu ditahan ketika sedang berehat di rumah tersebut bersama bayi perempuan berusia setahun kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Ketika ditahan, mereka dipercayai baru sahaja pulang daripada mengambil ganja bernilai RM160,000 di sempadan negara di Kelantan.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil pemeriksaan menemui satu ketulan mampat ganja di dalam rumah dan 50 lagi ketulan mampat dadah sama di dalam but kereta jenis Honda Jazz bernombor pendaftaran Thailand.
“Suspek yang bekerja sebagai operator kilang di sini mengaku dia dan isterinya menjadi ‘transporter’ dadah sejak April lalu dengan ganja dirampas tersebut disyaki untuk diedarkan ke kawasan Perak utara keesokan harinya,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan juga mendapati pasangan terbabit menerima upah RM100 bagi setiap ketulan mampat dadah berkenaan sekiranya berjaya menyeludup dadah itu dari sempadan negara di Kelantan ke Perak. – KOSMO! ONLINE