SHAH ALAM – Majlis pelancaran program Semarak Merdeka anjuran pengeluar dan pengedar minyak pelincir, UMW Grantt International Sdn. Bhd. (UMW Grantt) mencapai sasarannya apabila berjaya menarik ramai pengunjung hadir ke program julung kali ini pada 26 Ogos yang lalu.
Bertempat di Pusat Servis Kereta Maxipura Sdn. Bhd. (Maxipura) di Seksyen 13 di sini, lebih 200 botol minyak pelincir Grantt terjual kepada pelanggan sejak pukul 10 pagi ekoran tawaran baucar diskaun bernilai RM30 yang menjadi rebutan pengunjung.
Pengarah Kumpulan bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd. Osman berkata, program Semarak Merdeka itu bertepatan dengan Bulan Kemerdekaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini.
Ujarnya, minyak pelincir Grantt yang dicipta untuk pelbagai jenis kenderaan termasuk jentera berat sememangnya produk asli buatan tempatan sendiri yang dicipta khas untuk keperluan rakyat Malaysia.
“Kualiti kita setanding dengan jenama antarabangsa. Sehingga kini, kita mempunyai lebih 300 pengedar di seluruh Malaysia dan juga telah menembusi pasaran antarabangsa. Jadi sejajar dengan Bulan Kemerdekaan, kita seharusnya berbangga dengan produk anak jati tempatan.”
“Produk kami juga memang berdasarkan keperluan rakyat Malaysia. Kita sudah kaji dari segi penggunaan kenderaan, jalan raya di Malaysia, harga dan ketahanan sebab kita tahu kemahuan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Secara keseluruhan Anas Nasrun sangat berpuas hati dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai sepanjang majlis pelancaran dan berkemungkinan akan melanjutkan lagi program Semarak Merdeka ini sehingga Oktober depan.
Tambah beliau, ini bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai orang merasai kualiti minyak pelincir Grantt yang setanding jenama antarabangsa.
Sepanjang majlis pelancaran program Semarak Merdeka itu berlangsung, kemeriahan jelas terasa dengan kehadiran pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ke-36, Bell Ngasri sebagai pengacara majlis dan pempengaruh media sosial, Abang Gan atau Pandu Laju yang mencuit hati pengunjung.
Bukan itu sahaja, pelanggan yang hadir berpeluang mendapatkan makanan serta minuman daripada empat food truck dan satu gerai aiskrim secara percuma sahaja sambil dihiburkan dengan kehadiran maskot Mamak Cyber dan Kapten Kosmo!.
Terdapat juga aktiviti lain seperti mencanting batik buat kanak-kanak yang ingin menunjukkan kreativiti mereka di samping hadiah menarik seperti kad NFC dari Touch ‘n Go, cawan, serta topi Grantt dihadiahkan kepada pengunjung terawal dan mereka yang berjaya menjawab soalan kuiz.
Sementara itu, Pengurus Besar UMW Grantt, Iskandar Mohamed Salleh berkata, sejak tahun 2015 permintaan produk minyak pelincir Grantt semakin meningkat dan diterima baik oleh rakyat Malaysia sehingga dapat menembusi pasaran antarabangsa.
Katanya, dengan peningkatan itu, kilang UMW Grantt yang dahulunya terletak Shah Alami, telah berpindah ke Pulau Indah, Klang dan menghasilkan maksimum kapasiti 60 juta liter setahun berbanding 35 juta liter setahun.
“Saya menyasarkan jualan untuk suku ketiga tahun ini adalah 20 peratus lebih tinggi berbanding suku kedua.”
“Kita rasa bersyukur sebenarnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas, kita berjaya berpindah ke kilang baru dan menembusi pasaran yang lebih luas, hasil daripada jualan dan promosi secara maya,” ujarnya.
Dalam pada itu,Pengarah Urusa n Maxipura, Zuraiman Baharum berkata, setiap bulan lebih 600 botol minyak pelincir Grantt menjadi pilihan para pelanggan yang datang untuk servis kereta di semua lapan cawangannya.
Menurutnya, yang sudah menjadi pengedar minyak pelincir Grantt selama lapan tahun, kualiti yang baik beserta harga yang mampu milik membuatkan minyak pelincir Grantt menjadi pilihan pelanggan tetap dan baharu.
“Sebagai pemilik pusat servis kenderaan, perkara yang paling kita perlu elakkan adalah mengakibatkan enjin kereta rosak. Jadi pilihan minyak pelincir amatlah penting. Sejak saya menjual minyak pelincir Grantt, saya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada pelanggan saya. Kualitinya setanding minyak pelincir antarabangsa yang berada di pasaran.”
“Kita jangkakan permintaan minyak pelincir Grantt akan semakin meningkat kerana ia adalah produk keluaran UMW yang sangat dipercayai. Dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar, rakyat Malaysia digalakkan menyokong produk tempatan untuk menyumbang kembali kepada negara,” katanya.
Sepanjang program ini berlangsung, bagi pengunjung yang membeli produk minyak pelincir Grantt Stellar 8000 (sintetik penuh), Grant Stellar 5000 (separa sintetik) dan Grantt Stellar 1000 (mineral) akan mendapat cenderahati seperti beg sandang, beg pouch dan beg bertali secara percuma.
Tambahnya, cenderahati ini boleh didapati di pengedar-pengedar sah minyak pelincir Grantt, aplikasi Shoppe dan Lazada sehingga 15 Oktober ini, sementara stok masih ada.
Harga yang ditawarkan bagi minyak pelincir Grantt adalah serendah RM129 dan baucar diskaun RM30 boleh didapati di cawangan Maxipura, Seksyen 13, selagi stok masih ada. -KOSMO!ONLINE