fbpx

Sanusi harap tiada lagi kecurian REE selepas kerajaan keluarkan SOP penerokaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berharap tidak berlaku lagi kecurian unsur nadir bumi (REE) selepas garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berhubung penerokaan bahan mineral itu dikeluarkan dalam masa terdekat.

Kata beliau, isu kecurian dapat diatasi apabila kerajaan negeri dapat membuat kelulusan terhadap aktiviti penerokaan REE berdasarkan garis panduan dan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan Pusat.

“Harap tidak ada kecurian lagi. Kerajaan-kerajaan negeri sudah boleh buat kelulusan berdasarkan SOP itu, jadi kecurian akan dapat diatasilah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah lama menunggu kerajaan mengeluarkan garis panduan dan SOP berkenaan bagi memulakan aktiviti penerokaan REE di Kedah.

“Saya pun berasa lega kalau dah ada SOP, kita boleh mulakan dah. Kita dah tunggu lama sampai orang curilah.

“Kita akan ikut SOP itu. Saya ucap terima kasih kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kerana tindak balas yang pantas,” ujarnya.

Muhammad Sanusi juga berharap Kedah dapat menikmati hasil-hasil mineral baharu berdasarkan SOP tersebut.

“Kena bagi ruang kepada kerajaan negeri, bukan sahaja Kedah kerana REE ini ada di semua negeri. Saya rasa deposit paling besar di Terengganu.

“(Negeri) yang diteroka dan menjadi ‘pilot project’ untuk membangunkan SOP itu adalah Perak. Saya rasa dah sempurna (di Perak), jadi keluarlah satu SOP dan sepatutnya yang kedua Kedah akan jadi ‘pilot project’,” jelasnya.

Tambahnya, beliau terlibat dalam perbincangan tentang garis panduan dan SOP tersebut di bawah Majlis Mineral Negara, namun belum menerima jemputan daripada kementerian terlibat.

Akhbar pada kelmarin melaporkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan garis panduan dan SOP berkaitan REE akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI