SETELAH hampir tiga tahun, pengacara popular Boy William menarik nafas lega apabila rumah baharunya siap dibina dan sedia untuk diduduki.
Kediaman yang dihiasi kayu-kayan dan pepohon hijau itu berkonsepkan filem kegemarannya, Twilight yang terkenal dengan cerita puntianak.
“Akhirnya rumah saya siap juga selepas tiga tahun menunggu. Walaupun melalui proses yang sangat panjang termasuk halangan pandemik Covid-19, saya sedar bukan sesuatu yang mudah untuk membina sebuah rumah.
“Proses itu memerlukan kerja keras, banyak halangan yang membuatkan kita hampir putus asa dan marah. Tapi akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.
Berkongsi konsep kediaman tersebut, lelaki berusia 31 tahun ini berkata, dia mahu berasa segar dan dikelilingi alam semula jadi ketika berada di rumah.
“Ini memang impian saya untuk miliki rumah dikelilingi alam semula jadi. Saya mahu bersembunyi dalam hutan kecil saya ini,” ujarnya.