SHAH ALAM – Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) mencadangkan garis panduan berhubung jemputan kepada pelajar tahfiz dalam satu-satu program atau majlis.
Pengerusi PITAS, Muhd. Hafiz Haneefa berkata, ini bagi mengelakkan timbulnya isu susulan dakwaan kehadiran sekumpulan pelajar tahfiz pada sebuah festival muzik baru-baru ini.
“Apa yang pasti pelajar yang hadir ke konsert tersebut merupakan penghuni pusat kebajikan kepada pelarian Rohingya di TTDI dan disahkan individu yang menjemput sendiri mereka.
“Sebenarnya ada juga pelajar pusat tahfiz yang dijemput tetapi untuk makan sahaja pada petang tersebut tetapi semuanya balik. Saya tidak tahu macam mana, guru pelajar terbabit mungkin tidak faham bahasa dan mereka hadir di sana (konsert).
“Jadi, dicadangkan satu garis panduan yang dibentuk dengan kerjasama PITAS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya jemputan dibuat adalah program patuh syariah terutama melibatkan jemputan oleh pihak bukan Islam,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tular rakaman video menunjukkan kehadiran pelajar tahfiz menonton konsert di festival hiburan itu tersebut yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, seorang individu tampil menjelaskan tindakannya membawa kumpulan pelajar tahfiz ke konsert KEPCI Music Fest di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.
Individu tersebut yang dikenali sebagai Andrie Ung Han Xiang nemaklumkan pihaknya yang bertanggungjawab membawa pelajar terbabit ke festival itu dan perkara tersebut tidak melibatkan pihak penganjur mahupun kerajaan. – KOSMO! ONLINE