TELUK BAHANG – Nelayan daerah ini mula menarik nafas lega apabila keadaan air laut di kawasan itu dilaporkan kembali normal dan berubah biru, hari ini setelah lima hari dibelenggu dengan fenomena air pasang merah sejak Sabtu lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Bahang, Johari Mohamad berkata, arus laut mula bergerak dan tiada lagi kelihatan air pasang merah di perairan di sini.
“Keadaan air pasang merah sudah tidak nampak lagi dan air laut kembali jadi biru. Mungkin (air pasang merah) bergerak ke tempat lain disebabkan air laut sudah mula bergerak.
“Nelayan dijangka turun ke laut mulai Jumaat ini setelah berehat sejak kelmarin. Kali ini, fenomena ini berlaku agak lama iaitu selama lima hari berbanding April lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Hari ini, Jabatan Perikanan negeri memaklumkan pihaknya akan terus mengambil sampel secara berkala bagi memantau kepadatan spesies alga, Noctiluca Scintillans di perairan Teluk Bahang sehingga mencapai paras yang selamat.
Bagaimanapun, keputusan awal analisis yang dijalankan Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung bagi mengenal pasti ‘air merah’ yang hadir di perairan itu mendapati alga tersebut adalah bukan toksin iaitu spesies Noctiluca Scintillans dan tidak berbahaya kepada manusia.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan nelayan pantai di daerah ini dikatakan berdepan kerugian besar sehingga 100 peratus dipercayai akibat kesan fenomena air pasang merah yang melanda kawasan perairan itu.
Sebahagian besar mereka terpaksa berehat sementara daripada turun ke laut sejak Isnin lalu berikutan tiada langsung hasil tangkapan yang diperoleh. – KOSMO! ONLINE