TELUK BAHANG – Nelayan di daerah ini mendakwa mereka mengalami kerugian teruk apabila tidak boleh turun ke laut ekoran fenomena air pasang merah disebabkan kemunculan plankton sejak Sabtu lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Bahang, Johari Mohamad berkata, mereka langsung tidak dapat sebarang hasil sejak dua hari lalu kerana ikan tiada dan ada yang sudah mati.
Katanya, kebiasaannya, nelayan dapat menangkap pelbagai jenis ikan seperti kembung dan tengkerong sehingga 60 kilogram sehari yang membawa pendapatan RM200.
“Sejak Isnin nelayan sudah tak turun laut kerana fenomena ini. Ia pernah berlaku pada April lalu tetapi tidaklah sampai menjejaskan tangkapan pada kedudukan dua kilometer dari pantai Teluk Bahang.
“Sebelum ini ikan sangkar saja mati tetapi kali ini ikan langsung tak masuk pukat dan ada yang ditemui terapung kerana sudah mati,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Johari, nelayan percaya ikan itu mati disebabkan kesan air pasang merah atau hidupan berhijrah ke lokasi lain kerana kemunculan plankton.
Bagaimanapun, tambahnya, keadaan itu semakin berkurangan sejak semalam kerana kelebaran jalur merah itu sudah berkurangan daripada tiga kepada 1.5 meter.
“Fenomena ini memang jarang berlaku tetapi kali ini ikan di tepi batu pun langsung tiada. Kami harap ia tidak berpanjangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Aileen Tan berkata, kejadian berlaku disebabkan kemunculan sejenis plankton yang dikenali Dinoflagellate, Noctiluca Scintillans.
“Ia dijangka berlaku dalam tempoh lama kali ini kerana air mati di kawasan Teluk Bahang dan Teluk Aling.
“April lalu ia dikesan di Monkey Beach dan Teluk Aling tetapi ia berlaku sehari sahaja selepas dibawa arus ke tengah laut,” katanya.