fbpx

Modul Hadis 40 Imam Nawawi dilaksana untuk guru, murid Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (kiri), ketika mengadakan pertemuan dengan 16 NGO, semalam, bagi membincangkan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi.

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam sahaja.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia merupakan projek rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Ia juga akan dikembangkan ke sekolah-sekolah dan kelas daripada mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja. Pelaksanaan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi tidak akan melibatkan murid bukan Islam.

“Penghayatan Hadis 40 ini juga penting serta signifikan untuk menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Fadhlina berkata, KPM komited untuk melaksanakan inisiatif tersebut kerana ia akan memberi impak positif dan gambaran sebenar mengenai nilai-nilai kesejagatan Islam serta pengamalannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Oleh kerana itu katanya, pertemuan dengan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diadakan semalam, bagi membincangkan perkara tersebut.

“Pertemuan itu berlangsung dalam suasana muhibah, mencerminkan keterbukaan, kesepakatan dan komitmen semua pihak. Turut dibincangkan, tentang pelaksanaannya dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pendidikan negara,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sesi pertemuan seperti itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menyampaikan maklumat tepat mengenai inisiatif-inisiatif KPM.

“Ruang dialog juga dibuka seluasnya selaras dengan salah satu teras utama KPM iaitu untuk memperkasa komunikasi antara kementerian dengan setiap pemegang taruh,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI