PETALING JAYA – Tindakan ahli keluarga seorang gadis yang mengekori dari belakang ketika dia sedang menjalani ujian memandu bagi mendapatkan lesen, menghiburkan orang ramai.
Menerusi perkongsian video abang gadis tersebut, Danniallll di TikTok, kedengaran jelas suara seorang lelaki dan wanita yang ‘mengulas’ serta memberi arahan seolah-olah adiknya itu boleh mendengarnya.
“Bila keluarga kau sokong kau masa ujian litar be like,” katanya pada kapsyen video.
Hantaran tersebut mengundang rasa lucu orang ramai malah tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman serupa.
“Comel betul sokongan macam ni,” ujar Aten.
“Masing-masing tak nak kalah bagi arahan macam la orang tu dengar. Aku yang dengar dia eh, eh, eh, aku yang nak marah, haha!,” seloroh Riz Kay.
“Sama masa aku ujian litar dulu cuma abang aku ikut belakang naik motor sampai JPJ tanya, belakang tu abang kamu ke? Kenapa dia tak potong?,” kongsi seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE