SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menzahirkan semangat patriotik dengan cara tersendiri menerusi kayuhan 66 penunggang basikal dalam kalangan warganya pada hari ini.
Ini adalah simbolik kepada Hari Kemerdekaan ke-66 yang disambut pada tahun ini bagi mensyukuri nikmat kebebasan seterusnya menyemarakkan kemerdekaan negara.
Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Roziah Mohd. Janor berkata, program kayuhan sejauh lima kilometer mengelilingi UiTM Shah Alam tersebut juga bertujuan mempromosi gaya hidup sihat di kalangan warga universiti ini.
“Kesemua penunggang basikal adalah seramai 66 orang melambangkan 66 tahun negara kita telah merdeka sejak 31 Ogos tahun 1957.
“Kita turut memasang Jalur Gemilang kepada kenderaan 30 pelawat yang masuk melalui pintu utama,”katanya kepada pemberita di pintu utama UiTM di sini hari ini.
Jelas beliau, kesemua program sempena kemerdekaan diadakan setiap tahun di UiTM bagi mengenang perjuangan pemimpin terdahulu yang memperjuangkan pendidikan untuk orang Melayu dan Bumiputra.
“Kita memberi galakan kepada setiap kampus untuk meraikan hari kemerdekaan dengan sambutan mengikut kreativiti masing-masing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE