PETALING JAYA – Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan Caprice mencabar individu yang meletakkan bungkusan seakan-akan ritual sihir di kereta isterinya, Farra Inalis supaya tampil bersemuka.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli percaya perbuatan itu sebagai ancaman yang disengajakan pihak tertentu untuk mengganggu keluarganya.
“Saya tak tahu ini siapa dan bagaimana dia tahu kami tinggal di mana. Tempat ini sangat privasi dan kami tak pernah dedahkan kami tinggal di mana.
“Bagaimanapun, seseorang telah letak sesuatu di kereta isteri saya, kereta lain tiada masalah. Saya percaya isteri saya jadi sasaran.
“Ini tak kelakar dan tak lawak, sudah tahap mengganggu keselamatan keluarga saya. Sesiapa yang buat kerja jijik ini? Kalau ada cari Caprice,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Sebagai langkah keselamatan, pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu telah membuat laporan di Balai Polis Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran sama, selebriti berusia 35 tahun itu turut berkongsi video yang menunjukkan bungkusan hitam atas but kereta milik isterinya.
Memberi balasan komen kepada pengikut laman sosialnya, Caprice memaklumkan objek misteri yang dibalut dengan pelitup muka berisi tisu dan dipercayai diletakkan air mani.
Netizen pula mendakwa bungkusan berkenaan merupakan sejenis medium sihir, tetapi Caprice mengakui tidak pasti dengan perkara itu.
Pada masa sama, rata-rata pemerhati menitipkan pesanan meminta Caprice serta keluarganya berwaspada.
Sekitar November tahun lalu penyanyi sensasi ini pernah mendedahkan Farra Inalis mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan Islam selepas terkena perbuatan sihir. – KOSMO! ONLINE