ZANDVOORT – Teka-teki mengenai masa depan pelumba No. 2 Red Bull, Sergio Perez akhirnya terjawab selepas disahkan akan kekal bersama pasukan itu pada saingan Formula Satu (F1) musim 2024 nanti.
Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner mengakui bahawa tiada perubahan yang bakal dilakukan oleh pihak pengurusan dengan Perez dijangka akan terus menjadi pelumba pasukan untuk digandingkan dengan juara dua kali, Max Verstappen.
“Situasi melibatkan Perez sangat jelas dan dia akan kekal bersama pasukan pada saingan F1 musim depan. Dia masih lagi memiliki kontrak bersama Red Bull dan kita juga ada persetujuan lisan untuk dia terus memandu jentera kami.
“Secara peribadi, kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan Perez yang berjaya menunaikan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin dan prestasi dia pada musim ini juga cukup luar biasa.
“Andai Verstappen tidak begitu konsisten, mungkin Perez boleh menambah kejuaraan sekurang-kurangnya empat atau lima perlumbaan Grand Prix (GP) musim ini.
“Apa yang pasti, dia kini menduduki tangga kedua carta juara dunia dan menjadi satu-satunya pelumba yang berjaya menjuarai GP musim ini selain Verstappen,” katanya.
Sebagai rekod, terdapat laporan mendakwa posisi Perez pada tahun depan di hujung tanduk selepas gagal pamer prestasi konsisten selain dijangka bakal digantikan oleh pelumba berpengalaman, Daniel Ricciardo atau Lando Norris. – AGENSI