LONDON – Tottenham Hotspur belum bersedia meninggalkan pasaran perpindahan kali ini apabila dilaporkan sedang memburu pemain sayap Nottingham Forest, Brennan Johnson pada saat-saat akhir.
Difahamkan, tawaran berkenaan akan melibatkan seorang pemain Spurs akan ditawarkan kepada Forest dan proses rundingan berkenaan sedang berjalan untuk diputuskan sebelum tarikh tutup pada 1 September nanti.
Pengendali Spurs, Ange Postecoglou dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Wales itu bagi menambah kekuatan jentera serangan pasukan itu dan mahu ia direalisasikan sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pada Jumaat ini.
Spurs dilaporkan sedia mengeluarkan dana sebanyak £50 juta (RM292.85 juta) untuk memujuk Forest untuk melepaskan pemain tonggaknya itu selain bersedia menjadikan seorang pemain mereka sebagai terma perpindahan tersebut.
Selain Johnson, Postecoglou juga dilapor mengarahkan pihak pengurusan tertinggi kelab itu untuk melihat potensi perpindahan pemain pertahanan Fulham, Tosin Adarabioyo dan menganggap kedua-dua pemain ini bakal melengkapkan perancangan yang dilakukan.
Setakat ini, Spurs sudah berjaya mendapatkan khidmat Micky Van De Ven dari Wolfsburg yang membentuk gandingan bersama Cristian Romero di bahagian pertahanan tengah dan kombinasi berkenaan mula menunjukkan petanda positif.
Spurs melalui perjalanan awal musim kali ini dengan sangat baik apabila melakar dua kemenangan dan satu keputusan seri termasuk menewaskan Manchester United pada aksi sebelum ini. – AGENSI