KUALA LUMPUR – Perintis perbankan Islam di negara ini, Bank Islam Malaysia Berhad berhasrat untuk mengekalkan momentum pertumbuhan pembiayaan di atas paras purata industri, pada tujuh hingga lapan peratus tahun ke tahun.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azizan Abd. Aziz berkata, pertumbuhan terutamanya akan dipacu oleh segmen pembiayaan runcit.
“Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun lalu, pembiayaan kasar Bank Islam mengukuh 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM66.3 bilion, mengatasi paras industri yang merekodkan 4.4 peratus.
“Kami turut berhasrat menambah baik pulangan ekuiti bersih (ROE) tahunan berasaskan keuntungan selepas cukai dan zakat kepada paras tujuh hingga lapan peratus bagi tahun kewangan 2023.
“Kami menyasarkan ROE antara sembilan dan 10 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya sewaktu membentangkan keputusan kewangan separuh tahun pertama Bank Islam kepada media di ibu pejabat Bank Islam, di sini hari ini.
Bagi tempoh tersebut, keuntungan bersih Kumpulan naik 14 peratus tahun ke tahun kepada RM254.2 juta.
Prestasi lebih baik diterjemahkan kepada perolehan sesaham bernilai 11.37 sen dan ROE tahunan sebanyak 7.1 peratus.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, dalam usaha untuk mengukuhkan perniagaan, keterangkuman kewangan kekal sebagai misi utama Bank Islam.
“Asas kami adalah bersandarkan nilai, memacu kami untuk meneroka potensi luas kewangan Islam dan memanfaatkan instrument kewangan Islam demi manfaat komuniti dan alam sekitar.
“Sebagai bank perintis program iTEKAD, kami berhasrat untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi dan memupuk aliran pendapatan mampan untuk usahawan mikro yang layak dengan memperkasakan mereka melalui pembinaan kapasiti,” ujarnya.
Sejak diperkenalkan pada 2020 sehingga 31 Julai lalu, Bank Islam telah mengagihkan RM14 juta bagi iTEKAD dan pencepat pendanaan (funding escalator), secara langsung memanfaatkan lebih 900 penerima dan menggalakkan mobiliti ke atas buat mereka. – KOSMO! ONLINE