MERSING – Seksanya hidup seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun apabila dia langsung tidak boleh demam atau selesema bagi mengelakkan badannya bertukar biru ekoran masalah jantung yang dialaminya sejak lahir.
Safwah Inara Muhamad Razali menderita penyakit jantung berlubang dan injap jantung sempit sejak lahir menyebabkan dia tidak boleh terlalu aktif seperti kanak-kanak lain sebayanya.
Ibunya, Hannah Abd. Salam, 29, berkata, anak keduanya itu kini juga mempunyai sembilan masalah berkaitan seperti jantung bawah kiri mengecut, kuku kebiruan membengkak, darah pekat dan lain-lain lagi yang berisiko untuk dibedah.
Menurutnya, sehingga kini anaknya itu masih mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Sultanah Aminah.
“Safwah Inara perlu menjalani pembedahan dengan kos RM60,000 yang ditanggung IJN sejak dia lahir tetapi ketika itu berat badannya tidak cukup.
“Bila berat badannya dah cukup, doktor kata keadaan kesihatannya pula menghalang dia untuk dibedah kerana oksigennya akan menurun dan menyebabkan risiko kepadanya,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Pantai di sini baru-baru ini.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan kasih Ketua UMNO Bahagian Mersing, Youzaimi Yusof yang turut menyampaikan bantuan.
Menurut Hannah, oleh sebab itu dia perlu menjalani rawatan secara bulanan di IJN.
Tambahnya, suaminya, Muhammad Razali Aris, 41, hanya bekerja buruh biasa di sebuah syarikat pembersihan dan tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarga.
“Kos untuk setiap kali pergi IJN sahaja mencecah RM1,000 dan kami mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM350,” katanya.
Ujar Hannah, dia bersyukur apabila anak sulungnya yang berusia tujuh tahun tidak mengalami masalah kesihatan dan keadaan itu membuatkannya dapat memberikan perhatian penuh kepada Safwah Inara.
“Dia tak boleh demam atau selesema kerana badannya akan bertukar biru. Saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya kerana dia mudah sakit jika dihantar ke rumah pengasuh,” katanya.
Katanya dia bersyukur anak sulungnya yang kini bersekolah di darjah satu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh menyumbang di akaun Maybank Hannah di 151098498677.