fbpx

71 banduan di Perak dipilih sertai PBSL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zawari (dua dari kanan) menyampaikan dokumen PBSL kepada salah seorang penghuni Penjara Taiping hari ini. - Foto oleh WAT KAMAL ABAS / KOSMO!

TAIPING – Seramai 71 orang banduan di Perak terpilih di bawah program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66 tahun ini.

Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti, Timbalan Komisioner Penjara Zawari Abd. Rashid berkata, 29 daripada banduan tersebut merupakan penghuni Penjara Taiping manakala selebihnya dari Penjara Tapah.

“Daripada 29 Orang Bebas Berlesen (OBB) di Taiping ini, lapan orang dijemput keluarga, 12 lagi akan dihantar menjalani kemahiran berbayar menerusi program Corporate Smart Partnership (CSI) dengan pihak industri.

“Bakinya pula seramai sembilan OBB akan dihantar ke Rumah Perantaraan (RP) di Ipoh,” katanya pada sidang akhbar Program Pelepasan Banduan Bebas Berlesen Sempena Merdeka Madani Kepulangan Yang Dinanti di Dewan Penjara Taiping di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 173 OBB telah dibebaskan melalui PBSL dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Sementara itu, seorang banduan berusia 25 tahun yang enggan dikenali berkata, dia berazam untuk melakukan perubahan dalam kehidupannya setelah terpilih menyertai PBSL.

“Saya benar-benar menyesal dan tidak mahu lagi terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah dan mahu mengubah kehidupan. Saya mahu menjadi anak dan abang yang baik kepada ibu dan empat orang adik yang masih bersekolah,” katanya.

Katanya, ini merupakan kesalahannya yang ketujuh setelah terlibat dalam aktiviti jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan enam kali sebelum itu menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah dan pertama kali menjadi penghuni penjara ketika berusia 17 tahun.

Dia bertekad dengan peluang yang didapatinya kali ini untuk berubah sepenuhnya dan mahu bekerja dengan mengikuti program CSI.

“Saya tidak mahu balik ke kampung kerana bimbang untuk terjebak ke kancah yang hina dan biarlah sementara ini saya mengikuti program CSR dengan bekerja di tempat yang lain yang telah ditetaokan oleh pihak penjara agar duit pendapatan bekerja itu nanti dapat membantu ibu dan empat adik yang masih bersekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI