ALOR SETAR – Sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-66 lebih bermakna buat 44 penghuni Penjara Pokok Sena, dekat sini hari ini apabila mereka dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).
Menurut Pengarah Penjara Pokok Sena, Timbalan Komisioner Aminon Adnan, kesemua mereka telah memenuhi syarat dan melepasi tapisan Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537) serta Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
“Ada dalam kalangan mereka yang dibebaskan ini akan terus diambil bekerja oleh majikan yang bersetuju bekerjasama dengan pihak kami, manakala yang lain akan kembali kepada keluarga.
“Meskipun sudah dibebaskan, pihak majikan dan ahli keluarga terus digalakkan untuk selalu berhubung dengan pegawai parol bagi memaklumkan mengenai perkembangan individu terbabit,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, bekas penghuni yang dibebaskan menerusi program tersebut sebelum ini didapati berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat.
Sementara itu, seorang penghuni yang dibebaskan melalui program tersebut, Othman (bukan nama sebenar), 53, memaklumkan, dia terharu melihat ibunya yang sudah berusia tetap hadir ke penjara tersebut bagi menyambut kepulangannya.
Dia yang dimasukkan ke situ atas kesalahan dadah sejak Ramadan lalu, dilihat tunduk bagi mencium tangan dan pipi ibunya berkali-kali ketika kedua-dua mereka dijemput ke pentas bagi menerima kertas pembebasan daripada Aminon.
“Memang saya sebak dan terharu kerana ibu masih datang walaupun sudah berumur 71 tahun dalam keadaan terhincut-hincut kerana sakit lutut. Ini merupakan kali ke-13 saya dipenjara, tetapi ibu masih hadir menyambut saya pulang walaupun dalam keadaan kurang sihat.
“Sebenarnya saya pernah berjaya menjauhkan diri daripada dadah setelah keluar dari penjara buat kali ke-12 kira-kira tujuh tahun lalu. Namun akibat pengaruh rakan-rakan, saya kembali mengambil bahan terlarang tersebut dan kini saya berazam untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi supaya dapat menjaga ibu yang tidak sihat,” ujarnya.
Ibunya, Salwana (bukan nama sebenar) dalam pada itu turut menitiskan air mata apabila bercakap mengenai anaknya itu.
“Baik atau buruk, saya tetap datang untuknya. Dulu sewaktu dia tamat latihan tentera, saya hadir ke majlis penuh istiadat itu dan kini apabila dia dibebaskan dari penjara buat kali ke-13 pun, saya tetap datang juga.
“Dia tetap anak sulung saya dan doa untuknya tak pernah putus setiap hari. Berkat doa ibu, saya harap dia benar-benar berubah kali ini dan saya tahu dia mampu melakukannya kerana dia pernah bebas daripada dadah selama tujuh tahun sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE