fbpx

34 R&R PLUS semarak suasana merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara R&R kendalian PLUS yang dihias sempena Pertandingan R&R Berhias Terbaik bertemakan ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.

PETALING JAYA – Sebanyak 34 kawasan rehat dan rawat (R&R) di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS), dihiasi pelbagai hiasan menarik bertemakan kemerdekaan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, ia bersempena dengan Pertandingan R&R Berhias Terbaik bertemakan ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.

“Ia bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuhkan perpaduan, selari dengan konsep Malaysia Madani dalam kalangan pengguna lebuh raya serta R&R PLUS.

“Dalam pertandingan ini, sebanyak 34 R&R termasuk hentian sebelah dan restoran jejantas sepanjang Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), mengambil bahagian,” katanya.

Menurut beliau, menerusi pertandingan yang dianjurkan sejak tahun 2000 itu, setiap R&R akan dihias mengikut kreativiti rakan-rakan niaga PLUS menggunakan bahan-bahan yang dikitar semula.

Juara pertandingan katanya, bakal memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.

“Pertandingan berlangsung sehingga 16 September ini, manakala naib juara serta tempat ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM8,000 dan RM6,000.

“Pemenang tempat ke empat pula terima wang tunai RM5,000 dan kelima, RM4,000, sementara bagi Anugerah Khas Juri pula bakal membawa pulang wang tunai RM2,000,” jelasnya.

Nik Airina berkata, pengguna lebuh raya yang singgah sepanjang kawasan rehat PLUS bukan sahaja berpeluang untuk berehat dan menjamu selera, malah boleh merasai kemeriahan suasana kemerdekaan tersebut.

“Kami amat menghargai sokongan rakan niaga kami di R&R yang bekerjasama erat bersama kakitangan pejabat seksyen PLUS bagi untuk mewujudkan suasana Hari Kebangsaan dalam kalangan pengunjung,” ujarnya.

Dalam masa sama katanya, ibu pejabat PLUS di Persada PLUS turut dihiasi dengan Jalur Gemilang Gergasi yang boleh dilihat dengan jelas dari Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Katanya, bangunan plaza tol di beberapa plaza tol terpilih di lebuh raya juga dihiasi dengan Jalur Gemilang oleh warga PLUS.

Selain itu, Nik Airina berkata, PLUS turut menganjurkan Peraduan InstaFoto #KibaranMalaysiaKuGemilang menerusi media sosial Instagram @PLUS_Malaysia sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan ini.

“Peraduan ini mengajak orang ramai untuk memuat naik gambar atau swafoto paling menarik bersama Jalur Gemilang atau hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di mana-mana lokasi yang selamat sepanjang Lebuhraya PLUS dan LPT2 berserta kapysen menarik berkaitan tema kemerdekaan.

“Pemenang peraduan InstaFoto PLUS ini berpeluang membawa pulang hadiah utama Apple Watch Series 8 dan 5 hadiah saguhati berupa Airpods (generasi ketiga) jenama Apple dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM6,500.

“Bukan sekadar meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, ia juga peluang untuk para pengguna Lebuhraya PLUS menunjukkan rasa bangga sebagai anak Malaysia,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI