PUTRAJAYA – Pengumuman pemegang ekuiti Digital Nasional Berhad (DNB) yang baharu dijangka diumumkan esok, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Katanya, DNB dijadualkan mengadakan mesyuarat penting esok dan dijangka akan diadakan beberapa pengumuman lain termasuk pelantikan pemegang ekuiti baharu DNB.
“Esok DNB akan mengadakan mensyuarat penting, insya-Allah sebelum penghujung hari akan ada pengumuman oleh DNB mengenai 5G,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pakej 5G Rahmah dan Insentif Pascabayar Rahmah Penjawat Awam di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, syarikat telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB.
Katanya, lima syarikat telekomunikasi itu seterusnya akan menyokong pelaksanaan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada akhir 2023 sebelum beralih kepada model dwirangkaian seawal Januari 2024. – KOSMO! ONLINE