SHAH ALAM – Polis Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melemparkan fitnah dan tohmahan berkaitan penutupan 200 sekolah tahfiz di negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai dakwaan tersebut semalam, namun setakat ini belum ada sebarang laporan di terima di negeri itu.
“Laporan polis diterima di Perak dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terancang (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Namun, kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengeluarkan dakwaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agam Islam Malaysia (MKI) semalam menitahkan polis mengesan kumpulan pemfitnah yang menyebar dakwaan berkaitan penutupan sekolah tahfiz di negeri itu.
Baginda mahu golongan itu segera menghentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab itu kerana disifatkan amat tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. -KOSMO!ONLINE