LONDON – Seorang pesara wanita mendakwa dirinya diganggu ‘telefon bimbit berhantu’ yang sering memaparkan mesej aneh setiap hari selain lampu suluh pada telefon menyala secara sendiri, lapor akhbar Daily Star semalam.
Diane Key, 80, berkata, telefon bimbit Motorola G13 yang baru dibelinya mula menunjukkan perkara aneh selepas dia terjaga pada satu malam disebabkan lampu peranti tersebut menyala terang.
Selepas memadamkan fungsi tersebut, Diane kembali tidur, namun keesokan malamnya, lampu suluh telefon bimbit itu menyala semula.
Sejak itu, Diane berkata, lampu suluh peranti itu menyala secara automatik pada waktu sama setiap malam.
Tambah wanita dari Norfolk, England itu, telefon bimbitnya turut menerima beribu-ribu mesej teks setiap hari yang berbunyi: “Tiada masalah. Saya tidak pernah melupakan anda ‘x’.”
Katanya, semua mesej tersebut diterima setiap minit dan secara bertalu-talu.
“Semua kejadian ini amat menyeramkan, terutamanya apabila lampu suluh sering menyala. Ia seperti berpuaka. Ia menakutkan saya pada usia sebegini,” kata Diane.
Wanita itu kini terpaksa mematikan telefon bimbit tersebut dan meletakkannya di dalam laci tempat tidurnya.
Dia juga mahu memulangkan semula peranti yang dibeli itu dan membatalkan kontrak pembelian. – AGENSI