fbpx

Puteri Sarah saman ahli keluarga Kazar, Yusof Haslam harap selesai cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSOF enggan mencampuri isu saman Puteri Sarah terhadap keluarga Kazar namun berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

PETALING JAYA – Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam berharap isu menantunya, Puteri Sarah Liyana diganggu seorang individu yang dipercayai bekas ahli keluarga Kazar sehingga melibatkan tindakan undang-undang dapat diselesaikan secara baik.

Bapa kepada pengarah dan penerbit, Syamsul Yusof itu menganggap masalah tidak dapat diselesaikan hanya dengan menggunakan saluran tindakan undang-undang.

“Saya rasa sudah banyak kali cakap mengenai perkara ini. Isteri pun minta jangan komen.

“Hanya doakan yang terbaik dan kalau boleh elak saman-menyaman serta selesaikan dengan cara baik.

“Tidak ke mana pun kalau asyik saman-menyaman ini,” kata pemilik nama lengkap Mohd. Yusof Md. Haslam Khan itu ketika ditemui selepas TikTok Awards Malaysia 2023 baru-baru ini.

Yusof yang ditemui Kosmo! Online turut menegaskan enggan masuk campur dalam masalah tersebut selain tidak berpihak kepada sesiapa.

“Benda sudah berlarutan dan saya serahkan kepada menantu untuk selesaikan. Tidak manis saya perlu beri komen setiap kali tercetus sebarang isu.

“Saya sudah umur macam ini dan dikira bertaraf veteran, jadi jangan kata saya hina pihak sana.

“Tidak boleh mahu cakap saya tidak suka sesiapa, biar Allah SWT tentukan takdir,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, pengarah drama Gerak Khas itu mengakui hanya dapat bertemu Puteri Sarah minggu hadapan berikutan kesibukannya.

“Saya sudah sebulan tidak berjumpa Puteri Sarah kerana dia sibuk jalani penggambaran, mungkin minggu depan bertemu.

“Dalam aplikasi WhatsApp memang kami ada berhubung tetapi saya tidak mahu campur. Tidak boleh lari daripada ujian, cabaran dan kutukan.

“Itu perkara biasa. Kalau layan, akan berpanjangan maka eloklah abaikan sahaja,” ujarnya.

Baru-baru ini, Puteri Sarah Liyana nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas kakak ipar Ira Kazar, Wiwie Darvienda Mazweena yang didakwa masih mengganggu ketenteraman hidupnya.

Pada Jun tahun lalu, aktres terbabit memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira yang didakwa kekasih Syamsul ketika itu.

Mahkamah kemudian mengeluarkan perintah injunksi inter-parte bagi kedua-dua pihak antara lain menyatakan Ira atau sesiapa berkaitan anak pelakon Kazar Saisi itu tidak menjejaskan ketenteraman Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga Yusof.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah akhirnya berakhir apabila disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam , 6, dan Summayah kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI