GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menyediakan peruntukan kepada kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengikut dasar sedia ada.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah peruntukan itu tidak akan sama dengan yang diperuntukkan kepada ADUN daripada kerajaan negeri.
“Kami (kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) akan meneruskan dasar yang sama dari segi peruntukan untuk ADUN kerajaan negeri dan pembangkang.
“Tetapi jumlahnya (peruntukan) tidak akan sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis angkat sumpah ADUN di Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Menurutnya, semua ADUN Pulau Pinang bagi penggal ini akan menggunakan baki peruntukkan penggal lalu untuk dibelanjakan di kawasan masing-masing. – KOSMO! ONLINE