KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di lereng bukit selekoh kedua di Jalan Tasbih Shangri-La Height petang semalam.
Dalam kejadian sekitar 3.30 petang itu, mayat lelaki berusia 83 tahun berkenaan ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam yang berjogging di kawasan terbabit sebelum menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut sejurus menerima laporan.
“Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengesahkan punca kematian tidak dapat dipastikan setakat ini.
“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah juga sudah membuat pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang kecederaan serta unsur jenayah. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HQE untuk tujuan bedah siasat,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi memaklumkan berdasarkan siasat awal, mangsa tinggal seorang diri dan jarak rumah dengan tempat kejadian kira-kira 15 meter.
“Menurut ahli keluarga, mangsa tiada masalah kesihatan dan selalu keluar awal pagi dari rumahnya dengan berjalan kaki hingga ke pantai Tanjung Aru.
“Sewaktu kejadian, mangsa dipercayai keluar awal pagi bagi memetik buah rambutan dibawa rumah seberang jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).,” katanya.-KOSMO! ONLINE