KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM2 bilion sebagai dana asas untuk Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan ini bagi membolehkan gabungan kewangan sebagai pemangkin, memastikan aliran sumber kewangan yang lancar ke arah projek peralihan tenaga yang ada kekangan pinjaman serta menghasilkan pulangan di bawah pasaran.
Menurutnya, ia adalah titik permulaan kepada peralihan tenaga arus perdana dalam naratif pembangunan negara, yang positif serta mampan kepada sektor tenaga dan ekonomi.
“Peralihan tenaga adalah salah satu inisiatif untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia di bawah rangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat. Contohnya seperti pelaburan dalam rantaian nilai kenderaan elektrik (EV), hidrogen dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Pada Mei tahun ini, kerajaan menetapkan sasaran untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050 dan telah pun menarik balik larangan eksport TBB.
“Pertukaran TBB akan diwujudkan dan dilancarkan pada 2024 untuk bertindak sebagai pusat pertukaran elektrik kendalian pengagregat atau ‘aggregator’ pasaran tunggal bagi memastikan harga yang adil serta telus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), di Pusat Konvensyen, di sini, hari ini.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Indera Ir. Baharin Din dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Seri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Mengulas lanjut, ujar Anwar, Majlis Tenaga Negara akan diaktifkan untuk memastikan perancangan tenaga holistik dan pembangunan dasar sambil memantau kemajuan NETR.
“Saya secara peribadi akan memastikannya majlis ini berfungsi sebagaimana yang diamanahkan. Saya optimis NETR akan berjaya dalam memacu peluang pekerjaan bergaji tinggi dan meningkatkan penyertaan pelaburan domestik dan asing sambil memastikan kesinambungan hijau Malaysia sumber tenaga,” ujarnya.
NETR hari ini dilancarkan bagi mengukuhkan komitmen Malaysia untuk mencapai aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) bersih sifar seawal-awalnya pada 2050. – KOSMO! ONLINE