JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan terus memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar tempat letak kenderaan bertingkat dapat dilaksanakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, isu sukar mendapatkan tempat letak kenderaan di pekarangan hospital bukanlah isu baru tetapi merupakan isu yang kerap diluahkan oleh pengguna yang datang ke HSA.
Katanya, keadaan ini menyebabkan pelawat dan pesakit terpaksa meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan utama dimana ia mengakibatkan keadaan lalu lintas di kawasan HSA menjadi sesak.
“Selain daripada isu HSA yang sudah mencapai had kapasiti dalam menampung jumlah pesakit, isu pelawat atau pesakit sukar mendapatkan tempat letak kenderaan turut menjadi perhatian.
“Saya akan terus memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar tempat letak kenderaan bertingkat dapat dilaksanakan di HSA ini. Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan membuahkan hasil demi kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya kepada pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE