fbpx

Festival Kraf Perak 2023 tampilkan pelbagai produk kraf Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusri (tiga dari kanan) menyerahkan sijil penghargaan dan Kit Cakna Kraf kepada wakil sekolah pada Festival Kraf Perak di Teluk Intan baru-baru ini.

TELUK INTAN – Festival Kraf Pe­rak 2023 yang sedang berlangsung selama 10 hari dari 25 Ogos hingga 3 September ini di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini dijangka meraih hasil jualan sebanyak RM1 juta.

Timbalan Setiausaha (Kebudayaan) Motac, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, festival yang bertemakan Ini Kraf Malaysia dan memasuki tahun ketujuh itu dijangka menarik sehingga 75,000 orang pengunjung.

“Festival ini bertujuan mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf tempatan kepada penduduk setempat serta pelancong selain meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai kraf Malaysia.

“Festival Kraf Perak 2023 menampilkan kepelbagaian produk kraf Malaysia yang terdapat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan usaha membudayakan seni kraf dalam kehidupan masyarakat seharian,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Terdahulu, beliau mengadakan sesi walkabout ke reruai pempamer bersama Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), ‘Ainu Sham Ramli dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin.

Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Kraftangan Malaysia itu disertai oleh 51 orang usahawan kraf.

Pelbagai aktiviti menarik dise­diakan oleh orang ramai, antaranya jualan kraf, pameran, demonstrasi serta sesi ekspresi kraf iaitu Inspirasi Jalinan: Tekatan Benang Emas dan Santai Bersama Adiguru Kraf Seramik.

Acara lain adalah pertandingan kukur nyior, tarik tali batik sarung dan gubahan batik sarung Malaysia serta Ceramah Agama Erti Merdeka oleh PU Yeob.

Pada masa sama, Mohd. Yusri menyampaikan sijil penghargaan Program Pengembangan Ilmu Cakna Kraf kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar.

Turut disampaikan sijil penghargaan dan Kit Cakna Kraf bagi aktiviti mewarna batik, anyaman bakul rotan dan membentuk pasu hiasan kepada tujuh buah sekolah.

Ia terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Jaya, SK Raja Perempuan Muzwin dan SK Sultan Idris II Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, SMK Sultan Tajul Ariffin, SMK Simpang Beluru dan SMK Raja Perempuan Kalsom.

Seramai 20 peserta dari Kolej Komuniti Manjung turut menerima sijil Penyertaan bagi aktiviti Ekspresi Kraf Tekatan Benang Emas.

Sementara itu, mengulas tentang batik alternatif iaitu batik tanah liat, ‘Ainu Sham berkata, pihaknya giat berkongsi hasil kajian mengenainya dengan pemain industri tersebut agar ia dapat dikomersialkan.

“Kita ajar usahawan untuk menggunakan tanah liat dalam penghasilan batik. Jadi kita lihat mereka mula mengkomersialkan batik tanah liat,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI