fbpx

Enam peserta ekspedisi kemerdekaan London-KL tiba di tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam peserta QMEPWK66 mengibarkan Jalur Gemilang sebaik tiba di tanah air melalui pintu sempadan ICQS Bukit Kayu Hitam, hari ini.

BUKIT KAYU HITAM – Seramai enam peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66, London-Kuala Lumpur (QMEPWK66) yang berlepas dari London pada 20 Jun lalu selamat tiba di tanah air, hari ini.

Kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Ketibaan mereka disambut pelbagai pihak termasuk wakil Jabatan Imigresen, Tourism Malaysia dan Persatuan Superbikers Malaysia (SAM).

Ekspedisi yang dilakukan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 itu mengambil masa selama 66 hari, merentasi 66 bandar dan melalui 16 negara meliputi perjalanan sejauh hampir 22,000 kilometer.

Kumpulan berkenaan akan singgah di Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan ke ibu negara bagi menyertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada Khamis ini.

Ketua Ekspedisi, Arep Kulal berkata, mereka bersyukur kerana akhirnya selamat kembali ke Malaysia setelah melalui pelbagai rintangan sepanjang perjalanan.

“Cabaran yang dilalui amat sukar untuk digambarkan apabila kami berhadapan dengan keadaan jalan raya, etika pemanduan dan cuaca yang berbeza sepanjang laluan dilalui.

“Namun kami bersyukur, segala cabaran tersebut tidak mematahkan semangat untuk kami meneruskan ekspedisi demi merealisasikan impian merdeka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada sambutan itu, mereka turut diiringi kira-kira 274 peserta termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi SAM yang menyertai Konvoi Kembara Merdeka 66 Malaysia Madani.

QMEPWK66 membawa misi ‘memupuk semangat perpaduan untuk memelihara kedaulatan negara’ yang seterusnya memberi gambaran kepada dunia tentang perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Ekspedisi itu ibarat mengimbas kembali kenangan pada 1957 apabila Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membawa watikah pengisytiharan kemerdekaan Malaya dari London. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI