AMPANG – Dua lelaki warga Myanmar diberkas selepas disyaki terlibat dalam kes pecah rumah sekitar daerah ini di Kampung Baru Ampang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seorang mekanik berusia 29 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk pada pukul 8.30 pagi, 28 Julai lalu.
Katanya, semakan televisyen litar tertutup (CCTV) milik mangsa mendapati seorang lelaki tidak dikenali memecah masuk kediamannya dengan mengambil seutas jam tangan berjenama dan alat pengecas bateri.
“Rentetan laporan itu, sepasukan polis yang menjalankan Op Pintu menahan dua orang lelaki warga Myanmar di Kampung Baru Ampang kerana disyaki terbabit kes itu pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
“Kedua-dua suspek merupakan penganggur dan Suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah dan narkotik.
“Ujian air kencing ke atas suspek pertama dan suspek kedua positif amphetamine, methamphetamin dan morphine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Azam, rampasan turut dibuat melibatkan sebuah bagasi, tujuh utas jam tangan pelbagai jenama, sebuah alat pengecas bateri, tujuh telefon bimbit pelbagai jenis, sehelai baju warna hitam dan sehelai seluar.
Tegas beliau, modus operandi suspek adalah menyasarkan kediaman yang tidak mempunyai kawalan keselamatan
“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.