SHAH ALAM – Ekzos motosikal tiruan antara pelbagai barangan bernilai RM1.7 juta yang dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hari ini.
Ribuan eksibit itu melibatkan 50 kes termasuk alat ganti kenderaan yang dirampas dalam operasi dan serbuan sejak 2013.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, kesemua kes pelupusan itu selesai proses siasatan termasuk tujuh daripadanya yang didakwa dan dijatuhi hukuman mahkamah.
Katanya, barangan itu antaranya peralatan komputer, produk kecantikan dan kesihatan, aksesori telefon, pakaian dan instrumen aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
“Kes itu turut melibatkan 100 ekzos dan tempat duduk motosikal tiruan yang dirampas di sebuah stor tahun lalu.
“Kesalahan dikesan antaranya penjualan barangan tiruan, penyelewengan barang kawalan subsisidi, hakcipta dan penandaan harga yang mengelirukan,” katanya pada sidang akhbar Pelupusan Eksibit Perdana 2023 di Stor Penyimpanan KPDN Selangor di Bukit Raja di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama pelbagai wakil cap dagang menyaksikan proses pelupusan itu yang turut menggunakan jentera penggelek. -KOSMO!ONLINE