WASHINGTON – Hampir 5,000 juruterbang di Amerika Syarikat (AS) disiasat kerana disyaki memalsukan rekod perubatan untuk menyembunyikan masalah kesihatan mental dan keadaan serius lain, lapor akhbar The Washington Post kelmarin.
Sebilangan juruterbang yang disiasat oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) itu terdiri daripada veteran tentera. Mereka mengaku cukup sihat, namun menerima manfaat veteran tentera untuk orang kurang upaya. Situasi itu boleh menyebabkan mereka dilarang untuk terbang.
Pasukan penyiasat Hal Ehwal Veteran (VA) menemui data tidak selari sejak lebih dua tahun lalu selepas menyemak pangkalan data persekutuan. Bagaimanapun, FAA dikatakan merahsiakan kebanyakan kes itu daripada orang ramai.
Jurucakap FAA, Matthew Lehner dalam satu kenyataan berkata, agensi itu menyiasat kira-kira 4,800 juruterbang yang didakwa mengemukakan maklumat salah atau palsu dalam dokumen perubatan mereka.
FAA menutup separuh daripada 4,800 kes itu dan melarang kira-kira 60 juruterbang yang didapati berisiko menimbulkan bahaya kepada keselamatan penerbangan daripada memasuki kokpit.
Menurut seorang pegawai kanan AS, kira-kira 600 juruterbang yang disiasat memiliki lesen menerbangkan pesawat penumpang. Selebihnya memiliki lesen komersial untuk menerbangkan pesawat kargo, pelanggan korporat atau milik syarikat pelancongan.
Pakar-pakar berkata, siasatan itu mendedahkan kelemahan yang sudah lama wujud dalam sistem perubatan FAA bagi menyaring juruterbang sedangkan masalah kesihatan yang tidak dilaporkan menimbulkan risiko kepada keselamatan penerbangan.
Walaupun juruterbang diwajibkan lulus ujian kesihatan kerajaan, ia selalunya dilakukan sepintas lalu, manakala FAA bergantung kepada juruterbang itu sendiri untuk melaporkan keadaan kesihatan mereka.
Bagaimanapun, terdapat penyakit mental yang sukar dikesan termasuk kemurungan atau tekanan selepas trauma.
Sebilangan juruterbang veteran menipu penyakit mereka supaya boleh terus menerbangkan pesawat, tetapi melaporkan gejala lebih serius dalam laporan kepada agensi VA untuk mendapat faedah hilang upaya.
“Terdapat juruterbang di luar sana yang cuba memperdaya kedua-dua belah pihak. Mereka digalakkan oleh VA untuk menuntut semua manfaat veteran,” kata seorang pemeriksa perubatan penerbangan di Colorado Springs, Jerome Limoge.
Rekod kontrak persekutuan menunjukkan bahawa FAA memperuntukkan AS$3.6 juta (RM16.74 juta) pada tahun lepas untuk mengupah pakar perubatan dan kakitangan lain bagi memeriksa semula rekod kesihatan hampir 5,000 juruterbang tersebut.
Dalam kebanyakan kes yang ditutup oleh FAA, juruterbang diperintah untuk membetulkan rekod kesihatan mereka dan mengambil peperiksaan kesihatan baharu. Ada yang telah digantung kerja sementara menunggu rekod kesihatan mereka disemak semula. – Agensi