PETALING JAYA – Sebanyak tiga sungai di Selangor dilaporkan melebihi paras bahaya, amaran dan waspada berikutan hujan lebat sejak tengah hari tadi.
Menerusi laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat pukul 5.15 petang, keadaan sungai masih menunjukkan trend meningkat.
Ia melibatkan Sungai Klang di Kampung Delek dengan rekod bacaan 1.33 meter (m) melebihi tahap bahaya, manakala Sungai Aur di Pandamaran pula merekodkan bacaan 2.04 m melebihi paras amaran.
Selain itu, Sungai Klang di Bandar Klang turut meningkat sehingga 2.44 m melepasi tahap waspada berbanding bacaan normal iatu 2.2 m.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di 10 negeri sehingga lewat petang nanti.
Ia membabitkan beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE