GEORGE TOWN – Nelayan-nelayan di sekitar kawasan Teluk Bahang sehingga ke Sungai Pinang di Balik Pulau, di sini bimbang dengan fenomena yang didakwa sebagai air pasang merah melanda kawasan berkenaan sejak dua hari lalu.
Nelayan setempat mendakwa air pasang merah itu yang mengakibatkan ikan serta hidupan laut mati berlaku bermula kira-kira 1 kilometer iaitu di kawasan Muka Head sehingga ke kawasan pesisir pantai di sekitar Teluk Bahang, di sini.
Malah, kejadian sama turut dikesan di kawasan Sungai Pinang, di Balik Pulau dan ia turut mengakibatkan ikan timbul di permukaan lalu mati.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Bahang, Johari Mohamad berkata, nelayan menyedari kejadian tersebut selepas terdapat jalur-jalur berwarna merah di permukaan laut dan ikan secara tiba-tiba timbul di permukaan dan tidak lama kemudian ia mati.
”Kita boleh nampak dengan jelas ada jaluran memanjang di tengah laut yang berwarna merah dan keadaan air laut pun tidak cantik seperti selalu.
”Nelayan sedar kejadian ini sejak dua hari lalu dan kejadian sama pernah berlaku pada awal tahun ini di mana ikan habis mati,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, nelayan bimbang sekiranya fenomena air pasang merah itu berterusan dan menyebabkan hasil laut menyusut.
”Ketika awal tahun kejadian air pasang merah ini berlaku sekitar tiga hingga empat hari dan ramai nelayan tidak turun ke laut pada masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Aileen Tan berkata, kejadian itu boleh dianggap sebagai air pasang merah dan ia berpunca daripada sejenis plankton yang dikenali Dinoflagellate, Noctiluca Scintillans.
”Kejadian yang sama telah berlaku pada April lalu semasa musim panas (dengan hujan yang membawa nutrien dari darat ke lautan).
“Dinoflagellate ini bersaiz besar dan mampu menyumbat insang ikan selain bersaing untuk mendapatkan oksigen pada waktu malam semasa mekar.
”Punca kematian ikan masih disiasat oleh pasukan kami, hipotesis mungkin disebabkan kawasan anoksik di laut dan juga penyumbatan insang ikan,” katanya.
Tambahnya, variasi dalam faktor persekitaran seperti suhu atmosfera yang dikaitkan dengan hujan yang tinggi mengakibatkan perubahan suhu permukaan laut, ketersediaan nutrien terlarut menjadi punca untuk pembiakan Noctiluca Scintillans. – KOSMO! ONLINE