fbpx

RM2.35 juta bantu Nafas tingkat proses pengeluaran ayam pedaging

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD melihat anak ayam daging pada Program Santai Peladang, di Hotel Muar Traders, Muar hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

MUAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyalurkan peruntukan sejumlah RM2.35 juta sebagai usaha membantu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) meningkatkan proses pengeluaran ayam pedaging bagi menampung bekalan ayam seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara naik taraf yang akan dilakukan adalah Projek Menaiktaraf Bangunan Pusat Penetasan Anak Ayam atau Kompleks Hatcheri, syarikat subsidiari Nafas – Medan Juara Sdn Bhd. (MJSB).

Katanya, kemampuan Ladang Ayam Baka MJSB mengeluarkan kira-kira 6 hingga 7 juta anak ayam setahun membolehkan harga ayam dipasaran semakin stabil pada masa kini.

“Kita harus bermula dengan membuat persiapan awal bagi mengatasi peningkatan harga bekalan makanan dengan meningkatkan pengeluaran bagi menampung bekalan import.

“Antara bekalan makanan asas yang menjadi tumpuan adalah bekalan bawang, beras dan bijirin,”katanya selepas hadir dalam Program Santai Peladang Zon Selatan 2023 anjuran Nafas di Muar hari ini.

Menurut beliau, langkah lain yang turut dilaksanakan adalah menjadi negeri Sabah sebagai salah satu negeri pengeluar padi manakala Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bertanggungjawab menjalankan kajian penanaman bawang yang lebih pantas.

“Nafas, LPP, Fama sekarang ini berganding bahu dengan rakyat supaya sekiranya berlaku sesuatu kepada bekalan makanan dunia tidak akan menyebabkan negara terputus bekalan makanan,”katanya.

Dalam majlis yang sama, turut disampaikan sumbangan dan geran hampir RM3juta yang diagihkan kepada ahli Peladang di negeri Johor dan Melaka yang melibatkan Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-Up), Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan, Program Agriprentice dan Bantuan Khas Sumbangan Tuna Kepada Pesawah Tahun 2023. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI