PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di enam negeri sehingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya hari ini berkata, antara kawasan di Perak yang diramal berdepan cuaca buruk ini adalah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta.
Ujarnya, hanya Rompin di Pahang dijangka mengalami ribut petir manakala kawasan di Selangor pula adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
“Hujan lebat serta ribut petir juga diramal di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau,” katanya.
Tambahnya, di Johor antara kawasan yang dijangka berdepan dengan ribut petir adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Jelasnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam. – KOSMO! ONLINE