JASIN – Seorang remaja maut, manakala juruteknik parah selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di Jalan Industri Kilang Berapi, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Muhammad Aniq Asyraf Abu Bakar, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia di lokasi.
Seorang lagi penunggang, A. Vijaikumar, 24, mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan berlaku apabila remaja terbabit dipercayai telah menunggang motosikal secara melawan arus.
“Mangsa bergerak dari arah Kampung Kilang Berapi menuju ke arah kawasan Industri Kilang Berapi dan setiba di sana dia telah bergerak secara melawan arus.
“Pada masa sama sampai sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang seorang juruteknik dari arah bertentangan lalu bertembung dengan remaja terbabit,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Tambahnya, kemalangan berlaku di laluan sah pergerakan juruteknik berkenaan.
Mengulas lanjut beliau berkata, akibat kemalangan itu, remaja terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
“Hasil siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati, laluan tersebut bukanlah laluan sibuk.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE