JOHOR BAHRU – Ceramah kontroversi Tan Sri Abdul Hadi Awang di pentas Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) di Markas Pas Bakri, Muar mengundang padah buat Presiden Pas itu.
Berucap di hadapan kira-kira 500 penyokong parti yang hadir, Sabtu lalu, Abdul Hadi bukan sahaja membidas bekas pemimpin Pas yang keluar parti membentuk Parti Amanah Negara (Amanah) malah mempersoalkan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya mengesahkan telah menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang itu.
“Polis kontinjen Johor mengesahkan telah menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas pas kawasan Bakri.
“Atas tindakannya mengeluarkan kenyataan tersebut, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di bawah
Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
“Abdul Hadi boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan boleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, Abdul Hadi dilaporkan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.
Katanya, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.
“Termasuk (mengenai) pengampunan. Kes jenayah dalam Islam, yang berhak mengampun adalah mangsa jenayah. Kalau dia mati, (melibatkan) kes bunuh, adik-beradik dia, ibu bapa dia atau wali dia yang berhak mengampun, bukan lembaga pengampunan.
“Lembaga pengampunan ini ialah Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Peguam Negara,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri.
Yang turut hadir ke ceramah itu adalah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R iaitu institusi diraja, agama dan kaum demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.
“Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan,” tegasnya.-KOSMO! ONLINE