PETALING JAYA – Kematian Oyen Elmina, seekor kucing yang diselamatkan di lokasi nahas melibatkan sebuah pesawat Beechcraft Model 390 di Persiaran Elmina, Shah Alam, semalam, ditangisi seluruh rakyat Malaysia.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, orang ramai masih memperkatakan tentang kehilangan haiwan itu dengan meninggalkan komen dan berkongsi laporan Kosmo! tentang kematiannya, semalam.
Malah, ada yang menyifatkan Oyen sebagai mangsa ke-11, yang satu-satunya terselamat dalam tragedi tersebut.
“Oyen hanya seekor kucing. Tapi pemergiannya menghancurkan hati seluruh rakyat Malaysia,” kata HMS Sapinah.
“Semua mangsa akhirnya meninggal dunia. Salam takziah,” komen Putera Daeng Hakimi.
“Mangsa ke-11 tragedi kapal terbang terhempas Elmina,” ujar seorang lagi pengguna.
Walaupun Oyen gagal diselamatkan, orang ramai tetap menzahirkan ucapan terima kasih kepada doktor yang merawatnya sejak ia diselamatkan.
“Terima kasih doktor yang merawat dan selamatkan Oyen, tapi Oyen pergi jua. Selamat jalan Oyen, berehatlah,” ucap Ayuniza Azman.
“Oyen dah tak ada, sedihnya rasa. Bersemadi la dengan tenang di alam sana. Terima kasih kepada para medik yang sudi jaga Oyen ketika dia masih ada,” luah Iena Iena.
Semalam Kosmo! melaporkan, Oyen Elmina disahkan gagal diselamatkan dan mati oleh doktor veterinar yang merawatnya, Dr. Zulerwan, di Instagram.
Kematiannya disebabkan oleh virus ‘feline Ilimmunodeficiency virus’ (FIV) atau dikenali sebagai sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) kucing, yang membuatkan sistem imun badan Oyen terganggu. – KOSMO! ONLINE