ISKANDAR PUTERI – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) melupuskan hak sitaan dengan menyerahkan 93 tan daging dan ayam sejuk beku kepada agensi berkaitan hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daging dan ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM695,000 itu adalah hasil rampasan yang telah dilucut hak membabitkan kes dari Januari sehingga bulan ini.
“Secara keseluruhannya, Maqis menyumbang sejumlah 93 tan daging dan ayam sejuk beku pada tahun ini dengan nilai rampasan RM695,000 yang dibawa masuk secara tidak sah dari pelbagai negara.
“Kesemua serahan itu adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang melalui proses lucut hak di bawah kesalahan Seksyen 11 (1) dan 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“KPKM melalui Maqis sebagai benteng utama akan terus memperketatkan penguatkuasaan bagi menjaga jaminan bekalan dan keselamatan makanan khususnya keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara,” katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini bagi melihat sendiri aktiviti pengoperasian pengimportan dan pengeksportan hasilan pertanian negara.
Mohamad turut menyempurnakan penyerahan 93 tan daging dan ayam sejuk beku yang telah dilucut hak kepada wakil di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) antaranya Zoo Melaka dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MBPG).-KOSMO! ONLINE